02 March 2010
ARTIS
Dari blog Al Qumairy (http://tukulbesi.blogspot.com)
BOLEHKAH seseorang artis menjadi ikon dalam masyarakat? Apakah golongan yang kehidupan mereka menjadi sorotan lampu limpah itu patut diangkat menjadi contoh dan teladan untuk diikuti lebih-lebih lagi oleh generasi muda?
Tidak payah, tidak payah, tidak payah! Itu saranan berulang kali, ironiknya daripada seorang pelakon dan pengacara terkenal, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot ketika menjadi ahli panel dalam program bual bicara di ruang legar pusat beli belah KB Mall, Kota Bharu, Ahad lalu.
Wardina yang bercakap menerusi pengalamannya sendiri berkata dunia artis adalah dunia yang lebih banyak dipenuhi dengan keburukan daripada kebaikan dan banyak bersandarkan kepada keseronokan.
Katanya ada kalangan artis menghabiskan masa di kelab-kelab malam, mengambil dadah, minum arak dan terdedah kepada pergaulan bebas di luar batasan.Malah katanya, budaya tidak solat dan berpuasa adalah 'standard' biasa bagi kebanyakan mereka termasuk dirinya yang merupakan kaki kelab malam satu ketika dahulu.
Mengakui yang akhlak dirinya dahulu adalah umpama Britney Spears, Wardina meminta sahabat artis yang tidak bersetuju dengan tanggapannya agar tidak cuba menafikan sesuatu yang menjadi realiti sebenar kehidupan kelompok itu.
"Tak payah nak menegakkan benang yang basah, kerana saya tahu macam mana keadaannya dalam dunia artis itu. Jadi pada saya tak payahlah nak jadikan artis-artis ini idola anda semua, tak payah, tak payah.
"Nak ambil yang ciri-ciri positif sahaja boleh, tapi tak perlulah nak dijadikan idola," katanya kepada hadirin dan pengunjung pusat beli belah yang sebahagian besarnya terdiri daripada para remaja.
Wardina berkata dia bukan mahu mendabik dirinya sebagai yang terbaik tetapi dia sentiasa mendoakan kebaikan untuk dirinya kerana dia adalah contoh dan idola untuk anak-anaknya sendiri.
Katanya, apa yang merisaukan dirinya tentang kehidupan artis di Malaysia hari ini adalah apabila ada di kalangan mereka yang sering mengeluarkan kenyataan bodoh mengenai agama tetapi tiada yang menegur.
"Saya takut bila perkara salah yang artis lakukan tidak menjadi salah lagi, perkara yang salah tidak ditegur para ustaz dan ulama, artis-artis jahil dan mengeluarkan kenyataan bodoh mengenai agama. Tetapi tidak ada orang tegur, artis berbaju separuh bogel tidak ada orang tegur dan hiburan terlalu banyak dan melalaikan. Ini yang saya risau sebenarnya," katanya.
Program anjuran kerajaan negeri Kelantan itu telah mengupas tajuk Selebriti Sebagai Ikon Masyarakat dan turut diundang novelis terkenal Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy dan personaliti TV9, Farrah Adeeba Mohd. Ashraf sebagai ahli panel dengan dipengerusikan oleh pakar motivasi, Amin Idris.