Namanya Celleda'. Ibunya Kristian. Ayahnya Islam.
"dan Celleda'?"
Dia kristian.
"Ibu bapanya tinggal sebumbung?". Oren bertanya sambil melenyekkan pisang yang digoreng separuh masak untuk dibuat sanggar pappe yang mahu digoreng.
"Yup..tapi sekarang ni..tak pasti plak..". Likku masih bersandar. Badannya dikipas dengan kipas manual cap 'nota sejarah cikgu Abby'.
Malam ini adalah malam cuti mereka. Rumah sewa dibawah rumah yang pernah dimasuki ular hitam itu sedikit bising dengan suara Likku dan Oren. Sallo hanya diam sambil menghabiskan gorengannya.
Usai menggoreng. Sallo terus mengurangkan minyak di kuali hitam. Bekas minyak dicapai. Giliran Likku menumis sambal belacannya.
Hampir semua terbersin apabila aroma tumisan mula mendidih. Api dikurangkan. Likku kembali ke posisi asal. Dia mahu menyambung ceritanya tentang Celleda'.
"Itulah, mujur juga dorang sekeluarga tu tidak makan ba....". Belum sempat Likku menghabiskan ayatnya. Uroi yang sejak isyak tadi tidur terjaga.
"Bisinglah kamu ni..". Uroi terus ke meja dapur. Membancuh kopi Radix, hadiahnya kerana menang kuiz sejarah Tamadun Islam minggu lepas.
Entah apa versi hadiahnya itu. Tetapi yang pasti kopi itu memang sedap dan berkhasiat.
Atchum!. Uroi tiba-tiba terbersin. Virus sambal belacan singgah dihidungnya.
"alhamdulillah..". Likku senyum. Bangga.
.............................................................................................................
Malam ini mereka berempat 'dinner'. Pisang yang dilenyek menjadi sanggar pappe cicah sambal belacan buatan Likku.
Terbeliak mata Oren setelah sambal Likku menceceh lidahnya.
"wei Likku..pedas siot ..". Oren terus meneguk Kopi Radix yang dibancuh Uroi tadi. Lidahnya terjelir-jelir menahan pedas.
Likku, Sallo dan Uroi hanya tersengih. Memang Oren selalu kalah pada pedas, tetapi peliknya, Oren masih mencicah sambal tadi.
Mereka bertiga senyum.
Cerita bersambung lagi.
"Dalam IC si Celleda' tu..letak Islam..". Likku bercerita lagi. Gayanya makan menyerupai pelarian Vietnam.
"mungkin sebab JPN tengok IC ayahnya Islam kot..". Uroi yang masih sedikit mamai menyampuk. Kopi Radixnya dah habis dihirup.
Sallo yang sejak tadi diam, tiba-tiba bersuara.
"yalah..masa Celleda' lahir..mak bapanya Islam..". Oren angguk. Betulah.
"hah..ah..sekarang, Celleda dah 18 tahun..dah layak mahu tukar status agama dalam IC tu..". Oren memberi pandangan.
Sallo angguk. Pengalamannya membentang subjek pengajian Am berputar kembali.
"dalam perlembagaan..12 (1 )...mengatakan bahawa..". Uroi tiba-tiba menunjukkan simbol senyap.
Mereka berempat berpandangan. Uroi menunjukkan tangan ke atas. Tiada apa-apa pun.
Setengah minit. Terdengar suara tuan rumah sedang melayan kuiz pengatahuan am bersama anaknya.
Mereka berempat pasang telinga. Entah apa yang menarik. Oren menunggu dengan sabar. Sallo yang tadi mahu menghabiskan penerangannya tadi masih masih terganga.
Semua menahan tawa sambil menunggu orang atas berbicara.
"mak..apa bezanya solat raya dengan Solat Jumaat..". Kedengaran suara Therry.
"ele..solat Raya khutbah sekali..solat jumaat 2 kali..".
"pandailah mak ni..".
Mereka berempat tersengih-sengih. Sallo yang tadi perasan muluntnya terganga, cepat-cepat menutup lulut. Kalaulah tuan rumah tahu mereka sedang mendengar dari bawah. Habislah disiram dengan air panas.
Mereka menunggu lagi. Agak lama menunggu. Likku bangkit. Dia mahu mengambil air sejuk di meja.
"siapa nabi yang paling cantik..". Oren dan Sallo berpandangan. Siapa nabi yang paling cantik?. Mereka berdua mengelengkan kepala. Seolah-olah soalan itu ditujukan kepada mereka.
"alah..mana ada nabi cantik..nabi semua lelaki..". Kedengaran suara Therry .
"ahhh...ada..".
Sallo mencubit tangan Oren. Oren angkat bahu. Bahasa isyarat terpaksa digunakan. Takut orang atas perasan.
"Therry mana tahu mak..".
"ala...takkan ustaz indak ajar di sekolah..". Tuan rumah bersuara lagi.
Suasana sunyi. Hanya suara cengkerik berzikir yang mengisi malam.
Mereka menunggu- nunggu jawapan siapa nabi yang cantik tu.
Uroi masih menjamah sanggar panas tadi. Sambal belacan di pinggan kecil hampir licin.
Likku sedang minum sambil mengipas-ngipas. Lunyai kipas manual tadi. Kesian ilmu itu. Menjadi sasaran kepanasan Likku.
"jawapannya ialah...."
"apalah jawapannya mak..". Therry menyampuk, mungkin penat berfikir.
"Nabi Yusuf lah...heheh".
Habis tersembur air yang diminum Likku ke muka Sallo.
"Almight God.."mereka serentak ketawa.
================================================
*nota indie;
Kisah satu bumbung lain agama, adalah isu di Sabah. tetapi tiada siapa yang ambil kisah. Hanya menjadi perbualan sahaja.
Itulah..bila Islam hanya menjadi ekslusif.