07 July 2009

...terkenang.. (1)..

cop!!...
Aku duduk tanpa bergerak. Penat juga bermain begini.

"main bubut-bubut lagi kamu....balikkkkkkk!!!!". Itu Kak As. Baru berumur 15 tahun.

Suara kak. As mematikan permainan kami yang sangat seronok. Aku, Engga', Nunui, Baba, Papai dan Satti kalam kabut berlari pulang. Sungguh banyak jalan 'alternatif' yang dibina, hasil larian kami berenam.

Aku meneropong Papai dari jarak jauh. Habis telinga dan kepalanya di belasah oleh kak As.

"kesian Papai..". Aku tiba-tiba merasakan kesakitan yang dialami oleh Papai.


.................................................................

"Mariaaa...".
Aku yang sedang enak menjamu pisang budak terkejut. Itu tentu suara Papai.
Aku pandang jam. Tepat pukul 5 petang.

Aku melangkah cepat ke arah jendela. Papai sedang menaiki basikal yang 'canggih'. Dia tersengih-sengih.

"marilah...kita pigi pancing ikan...". Papai bersuara dengan perlahan.

Wow! pancing ikan...Aku terus angguk.

................................................................

Kami berenam memancing berumpankan cacing. Pandai Baba mencangkul. Panjang-panjang saiz cacingnya.

"kata bapaku...cacing suka tinggal di tempat yang terlindung dari matahari....macam di sini..". Baba menunjukkan arah pokok-pokok sawit yang sama tinggi dengan orang dewasa.

Kami memancing dengan tekun dan sabar. Lebih kurang setengah jam. Bakul kami hampir penuh dengan pelbagai jenis ikan sungai.

"Nunui...ko dapat ikan kecik jak kan...mungkin ko tidak jampiii..". Papai menegur Nunui. Betul juga. Asyik-asyik dapat ikan putih.

Nunui memasamkan muka.

"..ni cam ni..ko cakap...mudah-mudahan dapat ikan besar...pas tu..ko ludahlah umpan...". Pui!. Papai meludah umpannya, sebelum melemparkan ke sungai.

Nunui mengikuti gaya Papai. Pui!. Dia terus melemparkan ke sungai.

Aku juga menuruti Nunui.

'patutlah.. Papai dapat ikan besar-besar jak..'.


.........................................................................................

Menghampiri maghrib. Kami kalam kabut pulang. Batang kail kami sorokkan disebalik pokok kelapa sawit.

Kami berjalan pulang sambil menyanyi.

"ikan kekek mengiloi-iloi...ikan kelama mengilai-ilai...
..dapat isteri cantiknya amboiii..

............................................................................

Zap!!!. Ku lihat Papai dirotan lagi. Aku menutup mata. Bengisnya kak As.Ku lihat Papai tidak menangis.

Aku cepat-cepat naik ke rumah. Takut Papai sedar, dia sedang diintai. Rumah kakakku ini, jauh lebih cantik dari rumah Papai dan yang lain-lain.

Malam itu, aku tidak berselera untuk makan. Kak Husna, kakak sulungku menegur.

"rindu gan mak??..". Aku diam.

"kalau rindu...nanti minggu depan kita balik rumah ya..". Lembut suara kak Husna. Jauh berbeza dengan kak As.

.................................................

Aku duduk-duduk sambil menggosok-gosok kepala Big Head. Kucing Jantan kesayangan Papai.Dia sedang enak menjamu makanan yang ku bawa dari rumah tadi.
Papai sedang bermain getah bersama dengan anak-anak pekerja estet yang lain. Ku lihat Papai sering menang. Hampir penuh tin Milo 1.5 Kg yang sedikit berkarat itu.

"weiiina... si Papai main jampii lagi...mesti menang lagi dia..". Entah siapa nama budak itu. Mukanya agak ganas. Aku tidak pernah berkawan dengannya. Kakakku melarang aku berkawan dengan anak-anak pekerja, kecuali Papai.

Makanan kucing yang ku bawa dari rumah, habis dimakan Big Head.
Big Head menjilat kakiku. Mungkin mengucapkan terima kasih.

"meowww...". Big Head terus baring. Kekenyangan agaknya.

"besoklah kita sambung...getahku sudah habis...ko main tipu...main jampi....!!!.
Budak tadi bertempik, dia terus berlari pulang. Papai hanya diam. Ku lihat tangannya sudah dipenuhi getah pelbagai warna.

Aku hanya memerhati.

........................................................................

"mariaaa....mari kita main getah...kita satu kumpulan...". Nunui. Rambutnya yang pendek dan keras.

Aku angguk. Tidak pernah aku bermain permainan ini di rumahku.

".....tapi getahku tidak banyak...dorang si Laling kata...kalau mau main..kena sediakan getah sendiri..". Nunui tunduk.

Aku teringat Papai. Dia baru menang semalam.

"..nanti kita minta dengan Papai..dia banyak getah..". Aku memberi semangat kepada Nunui. Laling. Itu anak mandur. Dia sangat berlagak. Mungkin kerana, dia jauh lebih kaya berbanding yang lain. Dia agak ramai kawan. Mulutnya agak celupar. Pernah ku dengar dia mengejek Nunui.

"...woiiii hitammm...". Aku tidak tahu kenapa Nunui di gelar begitu. Sedangkan Laling juga berkulit hampir sama dengan Nunui.

.............................................................

"Assalamualaikummm...". Aku memberi salam. Moga-moga kak As tiada di rumah. Silap hari bulan, aku pun dipukulnya.

Papai keluar. Dia berjalan terjengket-jengket.

"ehhh...Maria..naiklah". Dia menjemput.

Aku berkira-kira.

Naik atau tidak.

" siapa tu Pai...?.."

Erk.. macam suara kak As jak.

...........................................................

Kami berlari sangat laju. Tidak sedar, kami sudah berada di puncak bukit. Tentu kak As tidak akan mampu mengejar kami lagi.

Kami tercungap-cungap.

Nunui...?. Nunui sedang duduk bersendiri. Kami mendekatinya. Dia tunduk. Aku tidak berani mendekatinya. Papai juga menjauhi.

" kak As...memang garang ya...". Aku menyoal Papai. Nunui yang tadinya tunduk mengankat muka.

"tidaklah...kak As begitu,.....sebab...semalam...getahku habis di bakar...bapa marah sangat.."
Papai diam.


....................................................................

Minggu depan sekolah akan bermula. Aku akan naik darjah 5. Bermakna aku harus kembali ke rumah. Duduk bersama mak dan ayah. Bermakna, aku juga, harus meninggalkan kawan-kawan.

Sebelum berangkat balik, aku bertemu Papai, Nunui dan lain-lain.

Mereka semua tidak lagi dapat meneruskan sekolah sepertiku. Wang yang banyak diperlukan. Mereka bukan warganegara Malaysia. Estet *itu terlalu jauh dengan sekolah. Bapa Papai tidak sanggup lagi gajinya dipotong kerana kos pengankutan Papai ke sekolah.

"bapa mahu aku bantu dia....". Papai tunduk.


Aku juga tunduk.

................................................................................................

Nota I..

bubut-bubut = main kejar-kejar @ polis sentri
pigi = pergi
bapa = ayah, abah
mandur = penyelia (biasanya di ladang-ladang )
pisang budak = rupanya seperti pisang emas, tetapi agak kecil
main getah = permainan kanak-kanak perempuan yang memerlukan
getah sayur disambung-sambung menjadi panjang. (hehe)

*Estet = Ladang atau kebun (getah, kelapa, dll) yg luasnya lebih drpd seratus ekar;
2. kawasan yg sudah dimajukan dgn pembinaan bangunan (kilang dsb); ~ perindustrian kawasan yg dimajukan utk keperluan perindustrian.
_ Kamus Dewan, Edisi keempat.
Biasanya dimiliki oleh syarikat besar ataupun kumpulan. Pemiliknya biasanya dimiliki oleh tauke-tauke Cina (khususnya di Sabah dan Sarawak). Sistemnya masih menggunakan sistem ala penjajah British. Mungkin, tidak salah jika dikatakan, keadaan di sesetengah estet menyamai seba sedikit kehidupan di zaman British, pra- Merdeka.